Nur Lela Zulkipli


PENASIHAT Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam hasil aktiviti haram dengan memasukkan tiga cek milik Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM15 juta ke dalam firma guaman miliknya.

Mohd Hafarizam, 47, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

“Tidak bersalah,” katanya ringkas ketika diminta pengakuan daripada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam didakwa terbabit secara langsung dalam dua transaksi hasil daripada wang haram dengan memasukkan wang berjumlah RM11.5 juta melalui dua cek milik Najib.

Cek itu didakwa dimasukkan ke dalam firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Cawangan PWTC, Menara Dato Onn pada 16 April 2014.

Sementara bagi pertuduhan kedua, di lokasi sama, Mohd Hafarizam didakwa terbabit secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan memasukkan cek bernilai RM3.5 juta milik Najib ke firma guaman sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib menawarkan ikat jamin RM500,000 terhadap Mohd Hafarizam dengan syarat tambahan supaya dia menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Ahmad Akram berkata, terdapat seorang lagi tertuduh, Paul Geoffrey Stadlen yang mana kesnya sudah didaftarkan dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya semalam.

“Sekiranya beliau berjaya di bawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan (membabitkan transaksi sama), ada kemungkinan kes ini akan dibicarakan bersama dengan kes tertuduh hari ini.

“Langkah mengesan Paul sudah pun dijalankan iaitu mengeluarkan waran tangkap dan menyerahkannya kepada Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh, tidak mengemukakan bantahan tawaran jaminan daripada pihak pendakwa raya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM500,000 dan syarat tambahan kepada tertuduh supaya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 25 Mac ini.

Semalam, SPRM menahan seorang peguam bergelar Datuk yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta dan ditahan jam 4.25 petang di Ibu Pejabat SPRM selepas hadir untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:03 PM