Bekas peguam, Zainal Fikri Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4,000.Sebelum ini, Zainal Fikri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Georgetown berhubung pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM1.37 juta. FOTO BERNAMA
Bekas peguam, Zainal Fikri Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4,000.Sebelum ini, Zainal Fikri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Georgetown berhubung pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM1.37 juta. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas peguam yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas tuduhan pecah amanah lebih RM1.37 juta, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM4,000.

Bagaimanapun, Zainal Fikri Ahmad, 57, yang kini perunding sambilan di sebuah syarikat guaman mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Zainal Fikri didakwa memindahkan wang berjumlah RM4,000 yang adalah hasil aktiviti haram daripada akaun semasa milik Tetuan Zainal & Badrol ke dalam akaun semasa isterinya, Zaleha Abdul Kadir di sebuah bank di sini pada 30 Januari dan 26 Februari 2013.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hasbullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala tertuduh diwakili peguam Nizamuddin Hamid.

Pada 15 Januari lalu, Zainal Fikri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM1.37 juta berhubung pembelian tanah milik Syarikat JKP Sdn Bhd, lapan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 5:11 PM