DATUK Mohd Hafarizam Harun. FOTO arkib NSTP
DATUK Mohd Hafarizam Harun. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 8 Oktober untuk sebutan semula kes Penasihat Undang-Undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memohon satu tarikh untuk menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes itu.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Mohd Hafarizam tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

"Pihak pembelaan sudah menulis surat kepada mahkamah dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap perkara itu," katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili Mohd Hafarizam, 48.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM7.5 juta, hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya iaitu Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Peguam itu yang mewakili Najib dalam beberapa kes saman sivilnya didakwa melakukan perbuatan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini, pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 November 2014 dan 12 Februari 2015 di tempat sama, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 2:11 PM