AKSI Wan Arif  dan  Roy King ketika menentang beregu Denmark. FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Wan Arif dan Roy King ketika menentang beregu Denmark. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tindakan memanggil pasukan perubatan ketika aksi berlangsung ternyata membuahkan hasil buat beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King apabila berjaya menjinakkan pasangan nombor dua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di suku akhir Masters Malaysia petang tadi.

Mereka berjaya menghentikan rentak kebangkitan pasangan lawan itu yang cuba mengejar di hujung saingan set penentuan sekali gus berjaya mencatatkan kemenangan 21-18, 14-21, 21-18 di Axiata Arena.

"Alhamdulillah kami berjaya mencatat kemenangan dan berasa gembira tambahan pula Malaysia menjadi tuan rumah. Esok saya harap lebih baik daripada hari ini kerana ada juga saya bermain teruk dan perlu perbaiki lagi.

"Kalau lihat pada undian memang sukar namun tidak sangka mampu sampai ke tahap ini. Kami sasar suku akhir tapi alang-alang separuh akhir biarlah sampai juara. Kami berjaya mematahkan rentak pasangan Denmark tadi apabila memanggil masuk pasukan perubatan ketika mereka mahu melakukan kebangkitan," kata Arif.

Ujar pemain kelahiran Terengganu itu, mereka ada melakukan kesilapan di dalam gelanggang kerana terlampau teruja untuk mencatat kemenangan dan berharap perkara itu tidak akan terjadi lagi.

Sementara itu, Roy King mengakui tidak sangka berjaya mara ke separuh akhir dan hanya mahu fokus peringkat demi peringkat selain sentiasa mempercayai rakan segandingannya serta jurulatih.

"Ranking mereka lebih tinggi (18), cuma kita mendapat kekuatan daripada sokongan penonton, mereka memang tolong kita," katanya yang menduduki ranking ke-47 bersama Arif.

Sebagai rekod, kejayaan mara ke separuh akhir Masters Malaysia yang bertaraf Super 500 adalah pencapaian terbesar mereka sejak digandingkan pada Julai tahun lalu selepas terkandas di suku akhir Terbuka Thailand, minggu lalu yang juga bertaraf Super 500.

Arif-Roy King sebelum ini muncul naib juara Masters Sepanyol yang bertaraf Super 300 pada Mac lalu.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki negara yang juga naib juara edisi tahun lalu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas tewas di tangan pilihan ketiga dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 16-21.

Dalam acara beregu wanita, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir menerusi kemenangan ke atas gandingan Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu 21-16, 21-8.

Mereka akan berdepan Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan bagi perebutan tiket ke final, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 8:13 PM