JENAZAH Allahyarham Nor Zamri selamat dikebumikan di Tanah  Perkuburan Islam Masjid  Jamek Sungai Acheh. FOTO Danial Saad
JENAZAH Allahyarham Nor Zamri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh, di sini, kira-kira 6.30 petang tadi.

Sebelum itu jenazah yang dimandi dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) dibawa pulang ke kediaman Allahyarham terlebih dahulu sebelum ke masjid untuk pengebumian

Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mengimamkan solat jenazah Allahyarham.

Lebih 500 individu terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Nor Zamri,56, menghembuskan nafas terakhir jam 1.38 tengahari tadi selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ.

Pada 1 Mei lalu, Nor Zamri mengalami komplikasi di bahagian perut pergi ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan sebelum beliau dipindahkan ke HSJ.

Beliau kemudian ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran ahli keluarga.

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam dipilih mewakili suara penduduk Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 8:13 PM