GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Polis menahan seorang lelaki pada Rabu lalu selepas teman wanitanya mengalami keguguran akibat memakan pil diberi oleh suspek terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak Hospital Cyberjaya berhubung perkara itu jam 2.30 petang, Rabu lalu.

Katanya, berdasarkan laporan itu, seorang wanita berusia 19 tahun yang mengalami keguguran pada 15 Mei lalu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati wanita terbabit mengalami keguguran selepas memakan pil diberikan oleh teman lelakinya.

"Janin yang dilahirkan akibat keguguran itu ditanam di kawasan Taman Tasik Puchong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan suspek yang juga mekanik berusia 21 tahun selepas lima jam laporan kejadian terbabit dibuat, Rabu lalu.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas sebatang cangkul yang digunakan oleh suspek untuk menanam janin berkenaan.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita tidak benar berhubung kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 8:52 PM