Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (kiri) menunjukkan jaket dan topi keledar yang digunakan dua suspek Geng Arvind untuk melakukan kegiatan samun di daerah ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (kiri) menunjukkan jaket dan topi keledar yang digunakan dua suspek Geng Arvind untuk melakukan kegiatan samun di daerah ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Geng Arvind yang aktif menyamun sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan selepas dua lelaki ditahan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menangkap suspek berusia 26 dan 27 tahun yang terbabit dengan kes samun yang berlaku, baru-baru ini.

Katanya, hasil penahanan mereka membongkar beberapa lagi samun yang dijalankan kumpulan berkenaan selain merampas sebuah motosikal, serangkai kunci dan topi keledar yang digunakan ketika samun serta sehelai jaket.

"Lebih 10 kes samun di sekitar Kulim yang dikenal pasti membabitkan kumpulan ini. Dengan tertangkapnya mereka, akan memberi kesan kepada kurangnya jenayah samun selepas ini.

"Mereka dipercayai menggunakan hasil samun untuk membeli bekalan syabu. Namun ujian saringan air kencing dibuat mendapati mereka negatif dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.

Azhar berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 April untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mengulas modus operandi Geng Arvind, katanya, mereka bergerak dengan menunggang motosikal dan mencari peluang meragut selepas membuat pemantauan di kawasan tumpuan seperti pasar pagi dan pasar raya.

"Sasaran mereka adalah wanita memegang beg tangan dan berjalan sendirian. Mereka yang tidak bekerja juga mencuri dan melakukan pecah rumah.

"Siasatan lanjut ke atas ketua kumpulan dikenali 'Arvind' berusia 27 tahun mendapati 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah, manakala seorang lagi terbabit samun, pecah rumah, curi dan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:26 PM