AZHAR (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas daripada ketua kumpulan Geng Mizan Gila. FOTO ihsan Polis
AZHAR (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas daripada ketua kumpulan Geng Mizan Gila. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: "Geng Mizan Gila" yang dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai dan samun tumpas selepas lapan suspek termasuk dalangnya ditahan dalam operasi 8 Disember hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, susulan dua kejadian pecah kedai dan samun di stesen minyak di Sungai Karangan, awal bulan ini, pihaknya melakukan operasi di kawasan daerah Sungai Petani dan Yan bermula 10 pagi hingga 4 pagi semalam.

"Hasil daripada operasi yang dilakukan, ketua kumpulan itu berusia 40 tahun ditahan di kawasan Pantai Murni, Yan pada 5.30 petang Selasa," katanya.

Turut dirampas daripada ketua kumpulan ini, Toyota Altis dengan barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah diemui di dalam but kereta, katanya.

Azhar berkata, hasil soal siasat suspek, pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim seterusnya mengesan tujuh lagi rakannya berusia 19 hingga 45 tahun di sekitar Sungai Petani.

Polis turut merampas beberapa barangan lain termasuk Nissan Sunny, dua botol minyak petrol, amplifier hitam dan jam tangan untuk membantu siasatan, katanya.

"Siasatan mendapati, terdapat lebih 10 kes pecah rumah dan samun yang dikenal pasti membabitkan kumpulan ini di Sungai Karangan dan Padang Serai," katanya.

Azhar berkata, kumpulan ini didapati turut melakukan jenayah pecah rumah di kawasan Sungai Petani dan Kubang Pasu selain jenayah pecah kedai dan samun.

"Modus operandi yang dilakukan ialah bergerak secara kumpulan pada waktu lewat tengah malam dengan menaiki kereta dan mensasarkan premis disyaki menyimpan barangan berharga serta petrol yang mempunyai kawalan keselamatan lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semakan mendapati, ketua kumpulan ini mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, samun, curi kenderaan dan dadah manakala ahli kumpulan lain juga mempunyai rekod lampau jenayah dan kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, kumpulan yang wujud sejak pertengahan tahun ini dipanggil Mizan Gila kerana tidak serik melakukan jenayah walaupun beberapa kali dihukum penjara sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 3:00 PM