AZHAR menunjukkan makanan kucing yang dirampas selepas tertangkap Geng Pak Su. FOTO ihsan polis
AZHAR menunjukkan makanan kucing yang dirampas selepas tertangkap Geng Pak Su. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Geng Pak Su yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun premis perniagaan di sekitar daerah ini akhirnya tumpas apabila sembilan suspek termasuk dalang ditahan polis pada 27 Disember lalu.

Tangkapan dilakukan berikutan peningkatan kejadian samun premis perniagaan di daerah itu sejak pertengahan bulan lalu.

Hasil risikan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Operasi D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya mengesan Geng Pak Su.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, tangkapan dilakukan terhadap dua lelaki berusia 22 dan 31 tahun yang berkait dengan kejadian samun kedai haiwan peliharaan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebuah kereta yang digunakan ketika kejadian serta beberapa barangan yang dicuri dari kedai berkenaan.

"Hasil siasatan terhadap dua suspek itu, kita berjaya menahan tujuh lagi suspek secara berasingan terhadap individu berusia antara 19 hingga 35 tahun.

"Siasatan mendapati, kumpulan ini dipercayai aktif di sekitar kawasan Kulim, Padang Serai, Sungai Karangan dan beberapa kawasan lain di negeri ini," katanya pada sidang media di IPD Kulim, hari ini.

Azhar berkata, selain itu, kumpulan ini turut menggunakan hasil aktiviti jenayah itu untuk membeli bekalan dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

"Semua suspek masih direman sehingga 11 Januari ini untuk membantu siasatan.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan bergerak secara berkumpulan pada lewat malam dan akan mensasarkan premis yang hendak menutup perniagaan pada waktu tengah malam," katanya.

Azhar berkata, kumpulan ini juga turut mensasarkan pemilik premis yang lebih muda kerana mudah untuk mereka melawan mangsa.

Beliau berkata, hasil rampasan yang dilakukan terhadap tiga daripada individu yang ditahan, sebuah Proton Iswara, empat paket pasir untuk kegunaan kucing, tujuh bungkusan makanan kucing pelbagai jenama, seutas jam tangan putih dan sebuah telefon bimbit.

"Ketua kumpulan ini yang dikenali sebagai Pak Su berusia 27 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan jenayah samun, curi kenderaan dan dadah.

"Bagi anggota sindiket yang lain, mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, pecah rumah, curi kenderaan dan samun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 2:17 PM