POLIS sedang giat mengesan empat lelaki berusia 20-an hingga 40-an dipercayai terbabit secara langsung dalam pergaduhan antara dua kumpulan sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera di taman perumahan di Klang Utama, Jumaat lalu. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
POLIS sedang giat mengesan empat lelaki berusia 20-an hingga 40-an dipercayai terbabit secara langsung dalam pergaduhan antara dua kumpulan sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera di taman perumahan di Klang Utama, Jumaat lalu. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
Norzamira Che Noh

Klang: Polis memburu empat lelaki yang terbabit dengan kejadian serangan dengan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 30-an cedera di badan, tangan dan kepala di taman perumahan di Klang Utama dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian itu membabitkan Geng 21 dan Geng 18.

Empat suspek terbabit ialah P Daniel Arvind, 23, V Mahendran, 28, G Balamurugan, 27, dan G Navaratnam, 29.

"Kesemua suspek beralamat terakhir di Bukit Raja, Klang. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek ini diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, serangan terbabit dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua kumpulan itu kerana melaporkan kejadian gaduh membabitkan kumpulan lain menyebabkan rakan mereka dipenjarakan.

"Setakat ini, kami sudah menahan empat suspek yang kini direman sehingga Khamis ini.

"Kesemua suspek berusia 20-an hingga 40-an yang direman mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kekerasan, samun dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:26 PM