AZHAR (kanan) menunjukkan parang yang dirampas selepas menahan lelaki yang dipercayai ketua Geng Ah San. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AZHAR (kanan) menunjukkan parang yang dirampas selepas menahan lelaki yang dipercayai ketua Geng Ah San. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Ketua Geng Ah San yang dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah, curi sarang burung dan samun jalanan di daerah ini akhirnya kecundang apabila dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Covid Junjung, di sini, semalam, kerana merentas negeri tanpa kebenaran.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan jam 9 pagi ketika cuba merentas negeri dari Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang ke Kulim dan melalui SJR sebelum ditahan anggota polis kerana tidak memiliki dokumen kelulusan rentas sempadan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil semakan pada Mykad lelaki itu mendapati dia dikehendaki polis bersangkut kes pecah rumah di daerah ini.

Beliau berkata, berikutan itu suspek ditahan di lokasi dan pemeriksaan lanjut di kereta jenis Volkswagen Passat yang dipandu suspek menemui dadah jenis syabu, parang dan peralatan pecah rumah.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit lebih daripada 20 kes pecah rumah dan curi sarang burung di sekitar daerah Kulim.

"Kita percaya suspek adalah ketua kumpulan Ah San yang mana salah seorang daripadanya berusia 23 tahun ditahan pada 30 April lalu.

"Bagaimanapun seorang lagi suspek berusia 27 tahun sedang diburu dan disyaki bersembunyi di Pulau Pinang namun usaha mengesannya sedang dilakukan dengan kerjasama polis di Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Azhar berkata, kumpulan ini disyaki giat aktif ketika Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dengan kegiatan pecah rumah, curi sarang burung dan samun jalanan. "Dengan tertangkapnya suspek lelaki itu semalam, kita berjaya menumpaskan kegiatan jenayah yang dilakukan kumpulan ini.

"Suspek direman enam hari untuk membantu siasatan berhubung kes ini," katanya.

Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki parang, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1957 kerana memiliki dadah jenis syabu dan Peraturan 3 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana perbuatan rentas negeri tanpa kelulusan.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah bergerak secara berkumpulan seramai tiga orang dengan menaiki kereta pada petang atau lewat malam.

"Mereka kemudian mensasarkan rumah yang tidak berpenghuni serta premis yang mempunyai sarang burung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 1:30 PM