M Hifzuddin Ikhsan


Jitra: Kerajaan bakal mewujudkan skim insurans baharu membabitkan industri agromakanan bagi memastikan semua pihak berkaitan dilindungi pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya sudah melantik Agrobank bagi mengetuai usaha itu termasuk bertemu wakil industri dan petani bagi mendapatkan pandangan mereka.

Katanya, skim yang bertujuan melindungi industri pertanian itu sudah lama dilaksana di China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam bagi memastikan tahap keselamatan makanan adalah terjamin.

"Kita mendapati Malaysia antara negara belum mempunyai skim insurans agromakanan dan bergerak ke hadapan, kerajaan mendapati industri ini perlu ada perlindungan secara menyeluruh.

"Agrobank sudah diminta merangka model skim polisi yang sesuai dilaksana di negara ini dan mereka akan bentangkan kepada kerajaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi Bulan September dan Oktober 2020 di Perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) H-II Jitra, di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah Azman Nasrudin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Sementara itu, Kiandee mengumumkan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM2.19 juta diberikan kepada 1,009 pesawah yang terjejas ketika kejadian banjir yang memusnahkan 1,278 hektar sawah pada September dan Oktober tahun lalu.

"Bantuan ini diberi berdasarkan usia pokok padi di mana, pesawah yang memiliki pokok berusia bawah 70 hari menerima bayaran RM876 per hektar, manakala pokok 71 hari ke atas menerima RM1,800 per hektar.

"Pada masa sama, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan memperuntuk RM80 juta kepada Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat bencana," katanya.

DR Ronald Kiandee (tiga dari kiri) menyerahkan cek bantuan banjir kepada Wan Hasnah Syukor pada Majlis Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kepala Batas,Jitra. FOTO AMRAN HAMID
DR Ronald Kiandee (tiga dari kiri) menyerahkan cek bantuan banjir kepada Wan Hasnah Syukor pada Majlis Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kepala Batas,Jitra. FOTO AMRAN HAMID

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:23 PM