DR RONALD (kiri) hadir pada pengenalan sistem pengesanan benih padi sah iaitu sistem TrekBPS (benih padi sah) bagi memantau aktiviti pesawah dalam pengedaran benih padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Chenderong Balai. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
DR RONALD (kiri) hadir pada pengenalan sistem pengesanan benih padi sah iaitu sistem TrekBPS (benih padi sah) bagi memantau aktiviti pesawah dalam pengedaran benih padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Chenderong Balai. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Salak: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang mengenal pasti kerugian dialami sektor pertanian dan penternakan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bantuan akan diberikan selepas proses penilaian dilakukan.

Menurut beliau, penilaian membabitkan semua jenis tanaman dan ternakan itu hanya boleh dibuat sekurang-kurangnya 45 hari selepas banjir surut.

"Banjir melanda beberapa negeri dan kita sedang memantau dan menerima laporan daripada semua kawasan terjejas untuk menilai kerosakan serta kerugian yang berlaku akibat bencana alam ini.

"Bagaimanapun, kita perlu menunggu banjir surut terlebih dahulu untuk membuat penilaian itu dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya 45 hari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang Negeri Perak di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Chenderong Balai di sini, hari ini.

Ronald berkata, kementerian memberi jaminan akan memastikan semua petani dan penternak yang terjejas banjir akan menerima bantuan.

"Di peringkat kementerian, kita mempunyai dana tahunan yang meliputi semua jenis tanaman dan penternakan untuk diberikan bantuan disebabkan oleh bencana alam.

"Seluruh industri pertanian, kita ada RM80 juta sebagai dana untuk bencana alam termasuk penanaman buahan, sayuran dan industri lain," katanya.

Terdahulu, Ronald melakukan gimik pengenalan sistem pengesanan benih padi sah iaitu sistem 'TrekBPS' (benih padi sah) bagi memantau aktiviti pesawah dalam pengedaran benih padi.

Sistem melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menggunakan kod 'Quick Response' (QR) itu diperkenalkan bagi mengatasi masalah pesawah terutama membabitkan isu harga dan kualiti benih padi.

Ronald berkata, sistem itu memastikan pesawah dilindungi dan mendapat benih padi yang sah dan harga seguni beg benih tidak melebihi RM35.

"Harga beg itu juga tidak boleh ditukar dengan sistem pengesanan yang ada. Ini pendekatan baru yang diambil kementerian bagi musim penanaman padi kali ini.

"Justeru, kita berharap masalah ketiadaan benih, harga benih dan kualiti dapat diatasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:38 PM