Dr. Ronald Kiandee (dua dari kiri) melancarkan Jenama Beras Pulut Langkawi iaitu Pulut Lagenda pada majlis MAFI prihatin Tahun 2021 di Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Dr. Ronald Kiandee (dua dari kiri) melancarkan Jenama Beras Pulut Langkawi iaitu Pulut Lagenda pada majlis MAFI prihatin Tahun 2021 di Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di sini hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Langkawi: Beras pulut hasil tanaman ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, akan menjadi produk 'signature' khusus pulau berkenaan apabila ia berada di pasaran tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek tanaman beras pulut yang dikenali dengan jenama Pulut Legenda itu mula dilaksanakan pada 2019, membabitkan seramai 326 peserta.

"Pada masa ini membabitkan kawasan seluas 540 hektar yang ditanam secara berfasa itu berjaya mencatatkan peningkatan hasil daripada 1.1 metrik tan (per hektar bagi musim pertama) kepada 3.8 metrik tan pada musim lalu (musim 2/2020)," katanya selepas majlis Mafi Prihatin dan Pelancaran Pulut Legenda di PPK di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan projek yang diselia oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu.

Beliau berkata, selain menjadi produk signature, projek itu juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah yang terbabit dengan projek itu.

"Kita nak lihat projek ini menuju kejayaan...banyak keperluan yang diperlukan dan kami akan cuba wujudkan kilang memproses padi di Langkawi seperti yang dipohon oleh PPK, selain akan menambah baik sistem pengairan di sini," katanya.

Pada majlis itu, Ronald menyampaikan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi bernilai RM179,282 kepada 107 petani yang terbabit dengan banjir, ribut dan kemarau antara November 2019 hingga Oktober tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga mengadakan lawatan ke Taman Agroteknologi Mardi di sini, untuk melihat konsep agropelancongan di taman yang merupakan antara produk pelancongan yang terkenal di pulau berkenaan.

Taman seluas 27.39 hektar yang dibuka kepada umum itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 2:24 PM