TANAMAN keladi dan peria turut rosak akibat musim panas terik. FOTO Ahmad Ismail
TANAMAN keladi dan peria turut rosak akibat musim panas terik. FOTO Ahmad Ismail
Oleh Adnan Ibrahim


LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas melalui peruntukan tabung bencana kepada pengusaha tanaman kontan berikutan keadaan panas berpanjangan yang melanda negara ketika ini sekiranya tanaman mereka terjejas.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman, berkata pada masa ini hanya pesawah sahaja menikmati bantuan khas itu sama ada akibat banjir mahupun kemarau.

Katanya, apa yang dilakukan di utara tanah air ketika ini adalah menangguhkan proses tanaman padi apabila mendapati sebahagian bendang kering namun dipertimbangkan adalah pembenihan jika memerlukan.

“Pihak kami juga mencari kaedah lain untuk menangani masalah kemarau yang menjejaskan 920,000 ahli peladang di seluruh negara kerana masih ramai lagi menggunakan kaedah tradisional ketika mereka mengusahakan tanaman.

“Bagaimanapun, semua pam serta tali air akan diselenggarakan dengan sebaiknya dengan harapan ia dapat menyelesaikan masalah dihadapi ahli Peladang,” katanya.

Mazlan berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kedai Imput Pertanian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Simpang Renggam, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar PPK, Eddie Ismail dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Simpang Renggam, Md Judyar Malik.

Pada majlis itu, 69 ahli PPK Simpang Renggam menerima bantuan bencana banjir selepas terkesan akibat bencana itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan memperluaskan skop yayasan milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kepada aspek kebajikan berbanding sebelum ini.

Katanya, susulan cadangan berkenaan, satu skim akan diperkenalkan merangkumi khairat kematian, kemalangan dan insurans akan dilaksanakan dengan kerjasama Agro Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:00 AM