Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berusaha meningkatkan pengeluaran makanan untuk memenuhi permintaan rakyat yang semakin tinggi, walaupun berhadapan dengan tanah pertanian yang berkurangan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya tidak menafikan, terdapat permohonan pertukaran tanah pertanian kepada industri pembangunan yang biasanya melalui urusan hal ehwal kerajaan negeri.

Menurut beliau, kedua-dua aspek terbabit iaitu keperluan makanan dan pembangunan diperlukan oleh rakyat, namun kerajaan berusaha mengimbangi kesemua agar masyarakat tidak terputus bekalan makanan dan pada masa sama ada tempat yang dimajukan untuk dijadikan kediaman atau lokasi bekerja.

"Pelbagai inisiatif lain juga dilakukan kerajaan seperti menjalankan sistem pertanian moden, kebun komuniti dan 'vertical farming' bagi memastikan hasil pengeluaran makanan berterusan selain mendapatkan bekalan import untuk sesetengah makanan.

"Kita sentiasa memberi galakan kepada pengeluar tempatan seperti petani, penternak dan nelayan untuk terus menghasilkan bekalan makanan, namun mengimport juga dari negara luar bagi sesetengah produk yang memang tidak mampu dihasilkan dalam negara.

"Contoh, menjelang Tahun Baru Cina, kita import juga limau bagi memenuhi permintaan tinggi sepanjang perayaan terbabit, begitu juga kurma yang menjadi tumpuan utama masyarakat Melayu ketika Ramadan," katanya pada sidang media di Program Mafi Prihatin Bantuan Banjir 2021 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang di sini, hari ini.

CHE Abdullah (dua kiri) menyampaikan sumbangan bantuan banjir MAFI Prihatin kepada salah seorang penerima di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
CHE Abdullah (dua kiri) menyampaikan sumbangan bantuan banjir MAFI Prihatin kepada salah seorang penerima di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa

Che Abdullah turut menyampaikan replika cek Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM143,499.60 kepada wakil 38 petani yang terbabit dengan bencana banjir dan ribut pada September serta Oktober 2020.

Menurut beliau, bantuan khas itu adalah inisiatif Mafi bagi membantu petani yang terjejas pengeluaran padi mereka akibat faktor di luar kawalan atau bencana yang berlaku ketika proses penanaman padi.

"Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir Mafi Prihatin adalah hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial Mafi yang mengumpulkan sumbangan keperluan asas makanan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

"Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban petani, pesawah atau penternak yang ditimpa musibah selain sebagai bukti Mafi juga mengambil berat nasib golongan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 4:16 PM