Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang Aidilfitri serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang akan bermula esok.

Timbalan Menteri II Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, isu bekalan juga tidak mendatangkan masalah meskipun banyak lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kebelakangan ini.

"Setakat ini kita tiada sebarang masalah dalam memastikan bekalan makanan ada dan sampai, malah kita akan cuba selesaikan apa-apa masalah di sepanjang rantaian (kawalan pergerakan) ini.

"Apabila berlaku PKPD, banyak agensi terbabit dalam memastikan makanan sampai, jadi kita cuma memastikan bahan makanan ada, rakyat jangan panik," katanya ketika sidang media di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan Prihatin Tabung Bencana Tanaman Padi kepada 30 pesawah yang terbabit dalam bencana banjir serta ribut secara pandu lalu.

DATUK Che Abdullah Mat Nawi (dua kiri) menyampaikan bantuan Prihatin Tabung Bencana Tanaman Padi kepada sebahagian 30 pesawah dari daerah ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Che Abdullah Mat Nawi (dua kiri) menyampaikan bantuan Prihatin Tabung Bencana Tanaman Padi kepada sebahagian 30 pesawah dari daerah ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, Mafi sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta dijual pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:38 PM