GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Bachok: Musim laut bergelora di Pantai Melawi di sini seakan menjadi lubuk rezeki kepada penduduk di persisiran pantai itu, apabila dianggarkan ratusan kilogram (kg) ikan belanak 'membanjiri' pantai itu.

Tinjauan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menangkap ikan belanak, yang dikatakan muncul setiap kali tiba bulan Disember sehingga berakhirnya bulan Februari, sekali gus mencetuskan suasana seolah-olah pesta di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd Syahril Mohd Anuar, 33, berkata, lebih 50 penduduk mengambil peluang untuk 'berkampung' sepanjang persisiran pantai itu dari pagi hingga ke petang, untuk menangkap ikan belanak yang muncul.

"Laut yang bergelora sehingga membuatkan air laut berbuih menyebabkan ikan belanak di pantai ini mudah untuk timbul dan senang untuk dikaut.

"Saya mula menyauk ikan belanak ini, sejak bulan lalu, kerana tidak dapat kelaut susulan musim tengkujuh, namun saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pendapatan sampingan ketika musim ini," katanya ketika ditemui di persisiran Pantai Melawi di sini, hari ini.

Mohd Syahril yang bekerja sebagai nelayan sejak 30 tahun lalu itu berkata, hampir setiap hari beliau mampu memperoleh sekitar 10 hingga 15 kilogram ikan belanak.

"Hampir setiap hari saya bersama dua lagi sepupu Mohd Nor Awang, 36, dan Mohd Khairil Mohamad, 27 akan keluar seawal 9 pagi dan pulang sekitar 5 petang setelah berpuas hati dengan hasil tangkapan.

"Kebiasaannya ikan belanak yang diperolehi ini akan dijual kepada peraih ikan selain penduduk sekitar dengan harga diantara RM7 sehingga RM8 sekilogram bergantung kepada saiz ikan," katanya.

Ujarnya lagi, walaupun aktiviti menyauk ikan belanak itu agak berisiko memandangkan perlu meredah ombak, namun ia sudah menjadi kebiasaan kepada golongan nelayan untuk menempuh risiko demi pendapatan sampingan keluarga ketika musim ini.

Sementara itu, Mohd Nor pula berkata beliau menangkap ikan belanak yang timbul itu menggunakan penyauk ikan yang direka sendiri, dengan bermodalkan RM50.

Seorang pembeli Arifin Mat, 63 dari Kampung Bechah Keranji yang ditemui berkata dia amat gemar ikan air masin yang dijual pada musim ini, kerana rasanya yang enak selain boleh dimasak dengan pelbagai masakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:39 PM