IKAN loma banyak dijadikan pekasam kerana harganya 10 kali ganda lebih tinggi.
IKAN loma banyak dijadikan pekasam kerana harganya 10 kali ganda lebih tinggi.
DJ Dolasoh


Sungai Rui, kira-kira lima kilometer dari pekan Gerik, Perak terletak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli melalui jalan lama Kampung Bandariang sentiasa dibanjiri penduduk untuk menangkap ikan loma.

Bulan di penghujung tahun adalah musim ikan loma melepaskan telurnya di sepanjang Sungai Rui yang mudik dari Sungai Perak dan Tasik Chenderoh terutama ketika air deras selepas hujan supaya anak ikan kembali ke habitat asalnya di Sungai Perak serta Tasik Chenderoh.

Senario ini berlaku sejak lebih 20 tahun lalu tapi ketika itu jumlahnya belum banyak seperti sekarang hingga jumlah tangkapan keseluruhan dianggarkan melebihi tiga tan setahun.

Oleh itu, Dataran Ikan Loma (DIL) bernilai RM80,000 dibina di tebing­ Sungai Rui sejak dua tahun lalu bukan saja turut mencantikkan kawasan tetapi memudahkan orang ramai menyauk ikan spesies thynnichthys thynnoides daripada keluarga salmon itu dengan mudah secara percuma.

Baru-baru ini, penulis bersempatan beberapa kali menyauk ikan menggunakan jaring pukat yang dipinjam daripada nelayan.

Penulis turut berasa betapa mudahnya untuk mendapatkan ikan itu kerana hanya menyauknya dari atas tebing sungai.

Apabila tiba musim ini ditambah dengan hujan setiap nelayan mampu memperoleh hingga 100 kilogram ikan loma sehari. Sama ada ia dijual terus kepada orang ramai dan peraih atau dibawa pulang untuk dijadikan ikan pekasam.

Ikan loma dijual di situ pada harga antara RM2 hingga RM4 sekilogram mengikut saiznya berbanding dijual di pasar antara RM4 hingga RM6 dan sekiranya dijadikan pekasam mampu dijual antara RM15 hingga RM20 sekilogram.

Tidak hanya penduduk tempatan, penangkap ikan menggunakan sauk di kawasan DIL dan sekitar tebing Sungai Rui hingga kira-kira dua kilometer itu datang dari luar daerah seperti Kuala Kangsar, Ipoh, Kelantan dan Baling, Kedah.

Penyauk ikan loma, Abdullah Razak, 58, dari Baling berkata dia sering datang ke Sungai Rui pada musimnya sejak tiga tahun lalu semata-mata untuk menyauk bermula dari pagi dan memperoleh hampir 100 kilogram ikan sehari.

Dia bersama isteri, Fauziah Mat, 56, bergilir-gilir menyauk ikan dan terus menyiangnya di tepi tebing sebagai persiapan awal untuk membuat pekasam kerana ia lebih menguntungkan berbanding menjual terus.

“Biasanya saya jual ikan pekasam ini kepada pemborong di Sungai Petani, Kedah pada harga hingga RM20 sekilogram dan saya mampu meraih hingga RM2,000 hanya hasil tangkapan sehari,” katanya.

Wan Syahbandar Wan Abdullah, 53, dari Gerik pula berkata, dia tidak melepas­kan peluang menyauk ikan loma ini sejak beberapa tahun lalu apabila tiba musimnya kerana memperolehi hasil hingga 100 kilogram sehari.

“Saya menjual terus ikan kepada pembeli yang datang ke sungai ini selain membuat pekasam. Telur ikan yang ‘penuh’ menjadi faktor utama orang ramai suka membeli ikan loma di Sungai Rui ini meskipun kebanyakannya bersaiz sederhana,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor Salbiah Mohamed berkata, keterujaan orang ramai menang­kap ikan loma secara aktif sedikit sebanyak menjejaskan populasi ikan spesies itu dan dikhuatiri terbantut pembiakannya.

“Orang ramai digalakkan datang ke Dataran Ikan Loma dan Sungai Rui ini terutama ketika diadakan Pesta Menangkap Loma (PML) yang diadakan sekali setahun tetapi kalau boleh pada hari biasa kurangkan tangkapan dalam jumlah yang terlalu banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:01 AM