NELAYAN China mengasingkan ikan yang ditangkap mereka.
NELAYAN China mengasingkan ikan yang ditangkap mereka.
AFP

Hong Kong: Beberapa spesies ikan di Laut China Selatan hampir pupus akibat aktiviti penangkapan ikan berlebihan yang dicetuskan permintaan tinggi makanan laut, kata pakar semalam.

Kajian oleh Unit Kajian Ekonomi Perikanan dari Universiti British Columbia juga mendapati pertikaian di kawasan itu turut menyumbang kepada kejatuhan populasi ikan.

Beberapa negara menuntut wilayah berkenaan termasuk kawasan batu karang dan pulau berbatu.

Jumlah beberapa spesies ikan di perairan itu didapati tinggal lima peratus berbanding jumlah pada 1950an.

Populasi beberapa spesies ikan itu termasuk kerapu karang merosot kepada 80 peratus sejak lapan tahun lalu sahaja.

"Laut China Selatan kini menerima ancam dari beberapa sumber. Kita perlu melakukan sesuatu," kata pengarah unit berkenaan, Rashid Sumaila.

"Apa yang paling menakutkan adalah tahap kejatuhan yang dilihat sejak beberapa tahun.

"Beberapa spesies kini secara teknikalnya berdepan kepupusan atau semakin sedikit," katanya.

Rashid yang mengetuai kajian berkenaan memberitahu, pertikaian politik turut menjejaskan stok ikan.

China menuntut hampir semua wilayah Laut China Selatan tetapi Malaysia, Filipina, Taiwan, Indonesia dan Brunei turut menuntut beberapa wilayah.

"Ramai penduduk yang tinggal bersempadan dengan Laut China Selatan.

"Apabila tiada kerjasama, semua berlumba-lumba kerana berpendapat sekiranya anda tidak menangkap ikan pasti ada orang lain akan menangkapnya," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:48 AM