Nurul Hidayah Bahaudin

Rompin: Pengisytiharan darurat serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan merencatkan usaha kerajaan bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur perkampungan Orang Asli yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja pembaikan bagi pasca banjir di kawasan yang terjejas akan berjalan seperti biasa kecuali bagi zon merah.

"Keputusan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tindakan baik untuk kebaikan semua pihak dan ia tidak menjadi bebanan besar bagi kami untuk menjalankan tugas pembaikan rumah serta infrastruktur bagi masyarakat Orang Asli yang terjejas.

"Ini kerana kerja-kerja pembaikan ini tetap akan diteruskan memandangkan ia adalah perkara 'essential' (penting) untuk diselesaikan dengan segera," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat ke Kampung Pelam, di sini, bagi menyampaikan bantuan kepada 99 isi rumah masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang terjejas akibat banjir sejak awal bulan ini.

Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 31 isi rumah di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Runchang, Pekan yang turut terjejas akibat banjir.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah Ir Razali Kassim, Ketua Pengarah JAKOA Prof Dr Juli Edo dan Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Pahang Datuk Mohd Aruwan Abd Aziz.

Abdul Rahman berkata, sebanyak 6,967 keluarga di beberapa perkampungan Orang Asli di seluruh negara terjejas akibat banjir yang mula melanda sejak awal bulan ini.

"Daripada jumlah itu, 5,933 ketua isi rumah membabitkan perkampungan Orang Asli di Pahang, Johor (809), Perak (222) dan Selangor (3).

"Di Pahang, sebanyak 89 kampung (Orang Asli) membabitkan lapan daerah iaitu Rompin/Muadzam Shah, Lipis, Raub, Termerloh, Bera, Kuantan, Pekan dan Jerantut yang terjejas akibat banjir kali ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di perkampungan Orang Asli berikutan kekurangan logistik sesuai untuk ke lokasi terbabit yang terletak jauh di pedalaman.

DATUK Seri Abdul Rahman Mohamad (empat dari kanan) diiringi Adun Muadzam Shah, Ir Razali Kasim (tiga dari kiri) dan Prof Dr Juli Edo menyampaikan sumbangan kepada Tok Batin Husin Dagang ketika Program Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Kampung Orang Asli Pelam, Muadzam Shah. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Abdul Rahman Mohamad (empat dari kanan) diiringi Adun Muadzam Shah, Ir Razali Kasim (tiga dari kiri) dan Prof Dr Juli Edo menyampaikan sumbangan kepada Tok Batin Husin Dagang ketika Program Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Kampung Orang Asli Pelam, Muadzam Shah. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Kami mengakui ada beberapa perkampungan Orang Asli lewat menerima bantuan kerana masalah logistik yang dihadapi.

"Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan bantuan agensi lain seperti pihak bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melalui aset pengangkutan mereka yang menggunakan bot, pacuan empat roda serta helikopter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:33 PM