Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyalurkan bantuan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bantuan itu akan digerakkan segera dengan menumpukan kawasan-kawasan kritikal terutama di Johor.

Menurutnya, pihaknya akan memfokuskan makanan sudah sedia dimasak bagi memudahkan mangsa banjir yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Katanya, KPDN melalui 'Food Bank' akan menghantar bantuan segera ke destinasi banjir yang diperlukan.

"Kita sentiasa berhubung dengan pihak polis dan bilik operasi banjir untuk mengetahui keadaan banjir di satu-satu lokasi supaya kita dapat menghantar barangan ke tempat yang sepatutnya.

"Daripada segi bekalan (untuk mangsa banjir) ada, bukan sekadar KPDN (dan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (tetapi) saya rasa badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri juga akan menyediakan makanan.

"Yang kita akan fokuskan adalah makanan sedia masak untuk kita edarkan di pusat-pusat pemindahan banjir dan KPDN akan memfokuskan barangan kering sebagai makanan untuk mereka mendapat bekalan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Menu Rahmah dan penyerahan Bakul Rahmah di sebuah restoran di Wakaf Tok Pelam, di sini, hari ini.

SALAHUDDIN (tiga kiri) beramah mesra beraam peniaga semasa hadir pada majlis Perasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam. FOTO Ghazali Kori
SALAHUDDIN (tiga kiri) beramah mesra beraam peniaga semasa hadir pada majlis Perasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam. FOTO Ghazali Kori

Pada program sama, Salahuddin turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 penerima dengan setiap bakul bernilai RM150.

Salahuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan makanan untuk mereka yang terjejas akibat banjir adalah mencukupi dan kesemua mangsa tidak perlu bimbang.

Katanya, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa negeri bagi mengemas kini perkembangan di lokasi yang terkesan dengan banjir bagi membolehkan bantuan makanan dihantar.

Setakat 2 petang tadi, lebih 7,000 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sarawak, Sabah dan Johor dengan Johor merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu lebih 6,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:38 PM