YANG di-Pertuan Agong berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara malam ini. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara malam ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rata-rata umat Islam di Malaysia hari ini bersolidariti memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara keselamatan serta kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjihad menentang kezaliman Israel.

Banyak solat hajat dan doa selamat dilaksanakan selepas Solat Maghrib secara serentak di beberapa negeri mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai tanda sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi Palestin.

Di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat berjemaah bersama 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai dan petugas Istana Negara di Surau Utama Istana Negara, di sini.

Solat sunat hajat turut dilaksanakan di masjid-masjid utama termasuk Masjid Negara dan Masjid Wilayah di ibu negara serta di Masjid Putra, Putrajaya di sini, malam ini.

Solat hajat dua rakaat yang diakhiri dengan bacaan Qunut Nazilah serta doa selamat itu, amat menyentuh hati ahli jemaah yang hadir, malah ada antara jemaah di beberapa masjid di sini dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengaminkan doa.

Di Perak, tinjauan Bernama di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh, mendapati kira-kira 40 anggota jemaah menunaikan solat hajat dan doa selamat untuk memohon kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjuang menentang kekerasan dan penindasan Zionis itu.

Jemaah di situ dibenarkan masuk ke perkarangan masjid seawal pukul 7.00 malam dan pintu pagar ditutup sejurus azan dilaungkan bagi mengehadkan jumlah kapasiti di dalam masjid.

DR Zulkifli menyampaikan tazkirah selepas mengimamkan solat hajat untuk kesejahteraan Palestin di Masjid Ibnu Khaldoon, Sungai Besi malam ini. FOTO Bernama
DR Zulkifli menyampaikan tazkirah selepas mengimamkan solat hajat untuk kesejahteraan Palestin di Masjid Ibnu Khaldoon, Sungai Besi malam ini. FOTO Bernama

Di Sarawak, sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu termasuk Masjid Bandaraya Kuching melaksanakan solat hajat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong semalam, agar solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin dilakukan di seluruh negara.

Tinjauan di Masjid Bandaraya Kuching, mendapati bukan sahaja solat sunat hajat diadakan malah ahli jemaah yang hadir turut mendengar tazkirah ringkas berkenaan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Di Johor Bahru, kira-kira 200 anggota jemaah menunaikan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta bacaan surah Yasin di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, di sini, untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin.

Di Pulau Pinang pula, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan pekeliling kepada 800 masjid dan surau di negeri itu melaksanakan ibadah sama.

Di Pahang, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah antara 50 anggota jemaah yang menunaikan solat hajat dan doa selamat memohon Allah melindungi serta meringankan penderitaan rakyat Palestin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Selain itu, Kerajaan negeri Pahang turut menyumbangkan RM250,000 kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan rejim Zionis Israel sehingga mengorbankan dan mencederakan ratusan individu tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejak minggu lalu, berlaku siri keganasan Israel terhadap Palestin selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penduduk Palestin,

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa pada 7 Mei diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza, dan sehingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, konflik itu bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

SOLAT sunat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu malam ini. FOTO Bernama
SOLAT sunat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu malam ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:48 PM