Jururawat yang bertugas menyediakan suntikan vaksin ketika Program Vaksinasi Covid 19 Kebangsaan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Jururawat yang bertugas menyediakan suntikan vaksin ketika Program Vaksinasi Covid 19 Kebangsaan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

Ipoh: Ketua Kampung Orang Asli (Tok Batin) di Perak, perlu menjadi orang pertama mengambil vaksin di setiap perkampungan masyarakat itu, dalam usaha meyakinkan masyarakat Orang Asli terhadap pengambilan vaksin bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, Tok Batin memainkan peranan yang penting dalam inisiatif tersebut dan langkah itu perlu bermula melalui contoh yang baik dari ketua mana-mana kawasan orang Asli di negeri ini.

"Ini adalah tanggungjawab besar dan mudah-mudahan Tok Batin dapat memainkan peranan serta menjadi orang pertama disuntik vaksin.

"Orang Asli akan menerima sekali sahaja suntikan dos vaksin jenis yang paling terbaik sekali, dan saya harap ia dapat dijayakan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Tok-Tok Batin Orang Asli, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo dan seramai 180 Tok Batin dari seluruh Perak yang dijadual akan menerima taklimat berkaitan pengambilan vaksin.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak ke semua perkampungan Orang Asli, bagi memastikan tiada yang tertinggal seperti yang dipersetujui Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, pada minggu lalu.

Pada majlis itu, Saarani turut menyampaikan Bantuan Khas Kewangan Tok Batin Orang Asli sebanyak RM178,180 dan menyampaikan Anugerah Khas Batin Dinamik Negeri Perak, serta Anugerah Pelajar Berkarismatik.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam memajukan masyarakat Orang Asli, untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan mereka.

"Dalam mesyuarat majlis tindakan negeri, saya dimaklumkan ada projek tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong di Sungai Siput, jadi kerajaan negeri memberi perhatian yang khusus untuk mengumpul sebilangan besar anak-anak Orang Asli, yang tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana berada jauh di pedalaman.

"Kita mahu bawa keluar ke sebuah asrama dengan kemudahan-kemudahan termasuk Internet, dan segala keperluan serta guru-guru bertauliah untuk pembelajaran anak-anak Orang Asli," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:17 PM