GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan suami isteri mendera pembantu rumah warga Indonesia November tahun lalu mengundang padah apabila mereka diberkas polis dan akan didakwa di mahkamah Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, terdahulu, sepasukan anggota polis Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di Taman Batu, di sini, jam 11 pagi, 24 November lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 42 tahun kerana disyaki mendera wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah.

"Polis turut merampas beberapa peralatan diguna untuk mendera mangsa.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Atipsom 2007, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya tadi.

Eng Lai berkata, suspek direman selama 10 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk membantu siasatan.

"Mangsa bagaimanapun dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan pemulihan. Dia diberikan perlindungan selepas mendapat perintah mahkamah.

"Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk ke Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, suspek wanita akan dikenakan dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dua pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 13 Atipsom 2007.

"Manakala suaminya dikenakan satu pertuduhan mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007. Polis Sentul meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan cara menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 5:34 PM