ROSMAH di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. FOTO Aswadi Alias
ROSMAH di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5.56 petang, semalam.

"Kejadian itu disedari pengadu ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur apabila dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang juga dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 11.29 pagi, semalam.

"Dokumen itu adalah dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan yang juga pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada Hakim," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, menurut pengadu, dokumen itu akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman.

Beliau berkata, semakan polis mendapati terdapat satu artikel yang dimuat naik di portal bertarikh semalam mendakwa keputusan mahkamah mendapati Rosmah bersalah sudah disediakan.

"Namun, pengadu mendapati dokumen itu sudah dipinda daripada dokumen asal," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 atas kesalahan membocorkan maklumat, Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 1:55 PM