Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Misteri kehilangan tong sampah roro di sekitar daerah Sentul, di sini, sejak setahun lalu terbongkar dengan penahanan dua lelaki tempatan pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan tong sampah roro di Taman Kok Lian, di sini, jam 4.25 petang pada 19 Februari lalu.

"Susulan laporan diterima, kami menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 40 tahun dalam dua serbuan di Bandar Baru Sentul serta Kampung Laksamana Batu Caves jam 11 pagi hingga 7.30 petang pada 11 Mac lalu.

"Dalam serbuan itu juga, kami merampas lima tong sampah roro bernilai RM40,000 serta lori yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi mencuri tong sampah berkenaan," katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan antara tong sampah roro yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan antara tong sampah roro yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Beh berkata, siasatan awal dilakukan mendapati modus operandi dua rakan berkenaan adalah mencuri tong sampah roro yang diletakkan di hadapan deretan kedai dan di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini.

"Suspek akan mewarnakan semula atau memadamkan nama syarikat pada tong sampah roro berkenaan sebelum menyewakannya pada kadar antara RM200 hingga RM400 sehari bergantung kepada saiz.

"Dengan penahanan kedua-dua suspek terbabit yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor dan pemandu lori, kami yakin berjaya menyelesaikan lima kes kehilangan tong sampah roro yang dilaporkan di daerah ini," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek terbabit mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

"Kedua-dua suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 12:32 PM