Beh Eng Lai. FOTO NSTP
Beh Eng Lai. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan pihaknya bersekongkol dengan individu didakwa sebagai gangster yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan gambar tular laporan polis mengenai lelaki tempatan yang diugut kumpulan gangster pada 4.35 petang tadi.

Beliau mengesahkan bahawa hantaran di Facebook itu berkait dengan aduan ugutan yang dilapor pada 4 September lalu dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, aduan itu daripada lelaki tempatan, 28, yang mendakwa diugut seorang lelaki dikenalinya ketika berada di Pejabat D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Siasatan dilakukan mendapati berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan yang terdiri daripada warga tempatan di kawasan parkir luar Jalan Vista Mutiara 1, kira-kira 2 pagi, 29 Ogos lalu.

"Tujuh individu telah ditahan untuk siasatan Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan seorang saksi telah dipanggil ke pejabat D7 IPD Sentul berkait kes itu pada 2 petang, 3 September lalu, yang mana dia mempunyai dua saudara yang ditahan kerana terbabit pergaduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, ketika berada di pejabat D7, saksi itu ada berinteraksi dengan tahanan dalam bahasa Cina dan anggota bertugas tidak nampak sebarang perlakuan jenayah dalam interaksi terbabit, meskipun tidak memahami bahasa ditutur.

Katanya, semua tahanan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 4 September lalu, dengan dua daripadanya dituduh pada 9 September mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

"Bertindak atas laporan dibuat pengadu bersabit insiden yang tular di Facebook itu, pihak polis sudah menahan seorang suspek pada 8 September dan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 9 September atas kesalahan ugutan jenayah," katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan jenayah dan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang sedia ada.

"Pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang insiden yang boleh mencemarkan reputasi PDRM dan mendatangkan kegusaran umum.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 10:26 PM