DADAH syabu dan pil ekstasi yang dirampas PGA Sarawak dalam Op Benteng Covid-19 di Pos Sungai Paoh,Serian. FOTO NORSYAZWANI NASRI
DADAH syabu dan pil ekstasi yang dirampas PGA Sarawak dalam Op Benteng Covid-19 di Pos Sungai Paoh,Serian. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Serian: Tiga lelaki yang membawa dadah jenis syabu dan pil ekstasi bertempiaran lari ke dalam semak selepas cuba ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam Op Benteng Covid-19 berhampiran Pos Sungai Paoh, di sini, semalam.

Komander Briged PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, sepasukan lima anggota Batalion 11 PGA Batu Kawa sedang membuat rondaan di kawasan terbabit pada jam 4 petang sebelum terserempak dengan suspek.

"Mereka terserempak dengan sebuah kereta Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di tepi bukit Sungai Paoh menghala ke sempadan Indonesia.

"Setelah dihampiri, tiga suspek lelaki bertindak keluar dari kereta terbabit dan melarikan diri ke dalam semak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, seorang suspek lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg galas di tempat duduk belakang kereta terbabit yang berisi tujuh bungkusan pita berpelekat berwarna kekuningan.

"Tiga daripadanya berjalur pita pelekat warna hijau mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar tiga kilogram," katanya.

Mancha berkata, empat lagi bungkusan berjalur pita merah dan hijau mengandungi pil disyaki pil ekstasi berwarna biru, kecoklatan dan merah jambu berjumlah 19,516 biji dengan anggaran berat 7.9 kilogram.

"Anggaran jumlah rampasan dadah dan pil ekstasi ini bernilai RM536,288.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan lanjut," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 6:58 PM