esuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, mengadakan Sidang Media Kes Akta Dadah Berbahaya Seksyen 39B ADB di Pusat Media, IPK Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
esuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, mengadakan Sidang Media Kes Akta Dadah Berbahaya Seksyen 39B ADB di Pusat Media, IPK Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sindiket pengedaran dadah berasal dari Semenanjung dikesan menjadikan Miri sebagai transit sebelum membawa bekalan dadah ke Sabah.

Taktik itu dikesan susulan penahanan seorang lelaki yang menaiki pesawat dari Semenanjung Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Miri, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri sebaik tiba jam 9 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bagasi suspek, polis menemui 8.3 kilogram dadah syabu dianggarkan bernilai RM273,900.

"Hasil siasatan awal, suspek menerima upah sebanyak RM8,000 untuk membawa dadah itu dari Semenanjung seterusnya menghantarnya melalui jalan darat ke Sabah.

"Semua urusan penerbangan dan penginapan diuruskan sindiket yang turut meninggalkan keretanya di Lapangan Terbang Miri bagi kegunaan membawa dadah ke Sabah," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, tadi.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung; Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah dan Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu.

Mancha berkata, polis turut menyita kereta Perodua MyVi yang dipercayai milik suspek.

Menurutnya lagi, ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 27 Januari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di belakang sebuah restoran di Miri pada jam 9.15 malam 19 Januari lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas dua paket serbuk disyaki campuran ekstasi seberat 54.7 gram.

Mancha berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah apartmen di Taman Piasau Indah, Miri dan menemui pelbagai jenis dadah iaitu 12.873 kilogram serbuk disyaki campuran ekstasi, 1.70 gram ketamin dan 0.3 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM152,700.

"Ujian saringan awal mendapati suspek positif Methamphetamine serta Amphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,Seksyen 4(1)(c) serta Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Modus operandi suspek ialah menggunakan apartmen sebagai tempat memproses dan membungkus dadah yang diperolehi dari rakan sejenayahnya di Miri," katanya.

Menurutnya lagi, dadah itu kemudian dibungkus di dalam paket 'Juice Master' sebelum diedarkan di sekitar Miri.

"Suspek menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu (membungkus dan mengedar dadah) dan dia kini direman selama enam hari sehingga 26 Januari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Mancha berkata, keseluruhan dadah yang dirampas daripada dua suspek di Miri itu bernilai RM426,600.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada polis Sarawak diarah untuk bersama mengesan lapan suspek kartel dadah terbesar Sabah yang sedang diburu, Mancha berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan, namun sentiasa bersedia mengekang pengedaran dadah termasuk rentas wilayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 1:22 PM