Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis menemui 20.795 kilogram syabu dan 14,000 pil ekstasi bernilai RM1.25 juta yang 'disorok' di tepi pantai berdekatan hutan bakau Parit Besar Laut, Muar, Jumaat lalu.

Dadah itu adalah sebahagian daripada 37.53 kilogram syabu dan 23,905 biji pil ekstasi seberat 7.17 kilogram yang cuba diseludup ke Bengkalis, Indonesia.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penemuan dadah itu hasil siasatan selepas pihaknya menahan wanita berusia 31 tahun serta anak saudaranya berusia 20 tahun di Muar pada 13 dan 14 Oktober lalu.

Katanya, ketika ditahan, polis merampas 14 bungkusan dadah membabitkan 15.671 kilogram syabu dan 9,905 pil ekstasi yang ditemui bersama suspek.

"Hasil soal siasat, polis menemui baki dadah yang disimpan di dalam beg di tepi pantai itu pada 10 pagi (Jumaat lalu) dan keesokannya (kelmarin) serbuan di kawasan kebun kelapa sawit sekitar Muar menemui lagi syabu seberat 1.064 kilogram bernilai RM42,560.

"Kesemua dadah itu dipercayai cuba diseludup secara berperingkat dan berat setiap bungkusan dadah melebihi satu kilogram. Tiada tangkapan lain dibuat dalam serbuan berikutnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, hasil operasi itu, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM2.22 juta.

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah dan pil ecstacy yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah dan pil ecstacy yang dirampas. FOTO Zain Ahmed

"Hasil rampasan dadah ini, polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah di pantai barat Johor.

"Kedua-dua suspek dalam tahanan reman sehingga 20 Oktober (esok) mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:14 PM