Proses pelupusan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), Jalan Sungai Tapang semalam. FOTO  MELVIN JONI
Proses pelupusan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), Jalan Sungai Tapang semalam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Kuching: Sebanyak 32,358.68 gram syabu antara rampasan dadah yang dilupuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP) Jalan Sungai Tapang di sini, semalam.

Turut dilupuskan sebanyak 8,226.17 gram pil ekstasi; 4,118.37 gram ganja, 924.44 gram serbuk ekstasi; 117.55 gram pil Erimin 5, 63.97 gram ketamin; 6,453 biji pil nospan, 55 liter air ketum, sebatang pokok ganja dan 2,374 botol urin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kesemua dadah itu dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta dan boleh menampung bekalan untuk kegunaan kira-kira seramai 200,778 orang pengguna.

"Kesemua rampasan dadah itu membabitkan 3,416 kes dari 2012 hingga 2022 di 19 buah daerah dalam kontinjen Sarawak yang selesai semua peringkat siasatan dan perbicaraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mancha berkata, pergerakan barang kes itu turut dikawal rapi oleh pegawai dan anggota polis dari daerah yang terbabit hingga ia dikumpulkan, diperiksa dan diserahkan kepada pihak KIWMP di tapak pelupusan berkenaan.

Katanya, proses pelupusan itu turut disaksikan oleh Ketua JSJN IPK Sarawak Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.

"Pelupusan dilakukan melalui kaedah pemusnahan selamat menggunakan teknologi terkini yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Sementara, Mancha berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Ogos tahun ini, JSJN Sarawak merekodkan tangkapan seramai 6,807 orang atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, termasuk 109 orang pengedar dengan nilai rampasan berjumlah RM128.7 juta.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka untuk menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:10 PM