Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pemilik yang menyewakan premis mereka kepada sindiket menjual barang tiruan boleh didakwa di mahkamah kerana terbabit kesalahan penggubahan wang haram.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, tindakan itu boleh diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

"Pemilik premis sepatutnya bertanggungjawab dengan menyemak terlebih dahulu latar belakang penyewa dan bukannya hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Perdana Barangan Tiruan di Kompleks Sentral Segambut, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak KPDNHEP juga akan melapor kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya didapati ada premis yang dijadikan lokasi simpanan atau penjualan barangan tiruan.

"Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya ada sindiket penjualan barangan tiruan membabitkan warga asing.

"Kami akan menggunakan semua undang-undang sedia ada bukan sahaja dalam bidang kuasa KPDNHEP bagi membanteras kegiatan penjualan barang tiruan," katanya.

Pada majlis itu, pelbagai barangan rampasan merangkumi pakaian, jam tangan, beg tangan, aksesori telefon bimbit, alat ganti kenderaan, minyak wangi, minuman keras, cakera optik dan set komputer dianggarkan bernilai RM2.4 juta dilupuskan KPDNHEP Kuala Lumpur, hari ini.

Hasnol berkata, semua barangan berkenaan membabitkan 110 kes mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid serta Akta Hak Cipta 1987 bagi tempoh 2018 hingga tahun ini.

"Di Kuala Lumpur, sebanyak 327 kes bernilai RM6.3 juta dilupuskan pada tahun ini dengan kes tertinggi berkaitan barang tiruan iaitu 87 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.3 juta.

"Sebanyak 45 kes direkodkan pada tahun ini di Kuala Lumpur membabitkan 157,853 barang tiruan dengan nilai sitaan RM7.15 juta dengan rampasan terbesar adalah 55,400 barang tiruan bernilai RM2.3 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:13 PM