MUHAMAD Zikril (baju putih) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Aminuddin Mohamad pada sidang media siri pelupusan barang di Taman Perindustrian Bukit Raja Selatan, Klang. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
MUHAMAD Zikril (baju putih) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Aminuddin Mohamad pada sidang media siri pelupusan barang di Taman Perindustrian Bukit Raja Selatan, Klang. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM2.11 juta hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, barangan dilupuskan itu membabitkan 16 kes.

"Barangan terbabit antaranya jeans, tablet, alat ganti kenderaan, beg tangan dan dompet.

"Barangan ini dilupuskan selepas mendapat kelulusan dan perintah mahkamah," katanya kepada media selepas Majlis Pelupusan Eksibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 di sini.

Kesemua kes terbabit disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2019 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Muhamad Zikril berkata, secara keseluruhan, sebanyak 243 kes barangan tiruan membabitkan nilai RM3.29 juta dilupuskan sejak Januari tahun ini.

Katanya, sepanjang operasi membanteras sindiket jualan barang tiruan, peniaga antaranya beroperasi di premis tidak berdaftar selain jualan di pasar malam.

"Kegiatan menjual barangan tiruan ini juga aktif secara dalam talian.

"Kami akan terus mengambil tindakan terhadap peniaga barangan tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:15 PM