Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan nelayan tempatan selepas bot yang dinaiki bersama lima lagi nelayan hampir karam akibat terlanggar boya berhampiran Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), di sini, semalam. FOTO IHSAN JBPM
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan nelayan tempatan selepas bot yang dinaiki bersama lima lagi nelayan hampir karam akibat terlanggar boya berhampiran Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), di sini, semalam. FOTO IHSAN JBPM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan nelayan tempatan yang dilaporkan terjatuh ke laut berhampiran Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Khairul Azhar Mohamad, 32, dari Kuala Muda, Kedah dipercayai tercampak ke dalam laut selepas bot yang dinaiki bersama lima lagi nelayan terlanggar boya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, SAR dilakukan sejak semalam sejurus pihaknya menerima maklumat pada 2.20 petang.

Menurutnya, operasi terbabit dikoordinasi oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi bersama Bot Perkasa dan pasukan Jet Ski APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Persatuan Nelayan Kuala Muda, Kedah.

"Dalam kejadian itu, bot yang dinaiki nelayan tempatan terbabit terlanggar boya menyebabkan sebahagiannya pecah dan hampir karam.

"Lima daripadanya berjaya diselamatkan nelayan berhampiran, namun mangsa gagal dikesan.

"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju warna biru dan seluar hitam tanpa jaket keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 1:56 PM