Bot yang dinaiki 17 pemancing yang mengalami kebocoran di kedudukan 18.1 batu nautika barat daya Pulau Cupa , Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Bot yang dinaiki 17 pemancing yang mengalami kebocoran di kedudukan 18.1 batu nautika barat daya Pulau Cupa , Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 17 pemancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kebocoran di kedudukan 18.1 batu nautika Barat Daya Pulau Cupa, di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.10 pagi.

"Maklumat kejadian disalurkan tekong bot menerusi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan di kawasan kejadian.

"Maklumat kejadian turut disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan SAR mendapati kebocoran bot berjaya dikawal kru dan jentera utama dapat dihidupkan semula.

Beliau berkata, bot itu kemudian diiring bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke Pangkalan Nelayan Kampung Penarak bagi memastikan keselamatan bot serta kru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:19 PM