Zuliaty Zulkiffli


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mencari nelayan warga Thailand yang terjatuh laut di perairan Pulau Songsong di Yan, Selasa lalu, diteruskan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi yang dilakukan pada hari ketiga ini tidak menemui sebarang petunjuk.

Beliau berkata, pencarian hari ini dibahagikan kepada empat sektor yang merangkumi keluasan 137.87 batu nautika persegi.

"Operasi hari ini menggunakan aset dua bot Maritim Malaysia iaitu KM Siangin dan bot pengawal 41.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mendapat bantuan Sebuah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 15 bantuan bot nelayan tempatan," katanya kepada media, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, operasi SAR masih diteruskan lagi sehingga mangsa, Supakorn Ruanggkaew, 48, ditemui.

Semalam media melaporkan seorang nelayan warga Thailand dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan pada jarak 19.3 batu nautika barat daya Pulau Songsong petang, Selasa lalu.

Berikutan itu, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi segera melancarkan SAR yang diaktifkan pada 4 petang.

KAWASAN pencarian nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh
KAWASAN pencarian nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 5:28 PM