BOT nelayan yang hanyut. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan yang hanyut. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mengaktifkan operasi carilamat dua kru bot yang dilapor hilang di perairan berhampiran Batu Maung, Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Ia susulan penemuan bot hanyut yang dipercayai dinaiki dua nelayan itu berhampiran sangkar ikan sekitar jam 9 pagi.

Pengarah APMM negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan tempatan berhubung penemuan bot hanyut tanpa pengemudi itu pada jam 8.20 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki M Gunalan, 46.

"Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di bot itu, didapati mangsa berasal dari Bukit Tambun, di sini.

"Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi bagi mengesan mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, maklumat daripada polis juga mendapati isteri mangsa turut membuat laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan.

Katanya, Gunalan dikatakan turun ke laut bersama rakan V Muraley, 53, dan tidak pulang ke rumah sejak jam 5 pagi tadi.

"Bot berkenaan ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

"APMM menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi APMM di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 5:21 PM