PENULIS menerangkan sesuatu mengenai laporan haji Harian Metro kepada Syed Salleh ketika beliau melawat bilik operasi media Petugas Media Tabung Haji di Ibu Pejabat Tabung Haji di Makkah, kelmarin.
PENULIS menerangkan sesuatu mengenai laporan haji Harian Metro kepada Syed Salleh ketika beliau melawat bilik operasi media Petugas Media Tabung Haji di Ibu Pejabat Tabung Haji di Makkah, kelmarin.
Husain Jahit


Makkah: Media memainkan peranan penting dalam menyalurkan berita-berita yang sahih lagi tepat mengenai operasi haji dan perjalanan jemaah bagi Musim Haji 1445H/2024.

Peranan media amat penting sekali dalam memberi informasi yang terkini supaya dapat menangkis maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengucapkan syukur ketika meninjau Bilik Operasi Media dan melihat kerja-kerja harian Petugas Media yang dibawa oleh Tabung Haji (TH).

Selain New Straits Times Press (NSTP), 13 lagi media tempatan dijemput menjadi Petugas Media Tabung Haji pada kali ini. Mereka adalah dari Bernama, Utusan Malaysia, Sinar Harian, RTM, Astro Awani, TV Al-Hijrah, TV Sarawak dan pasukan media dalaman TH.

"Sehingga kini mereka memberi pelbagai informasi yang tepat dan memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Tanah Suci kepada rakyat Malaysia khususnya kepada ahli keluarga jemaah haji," katanya di sini, kelmarin.

SYED Salleh (tengah) bergambar kenangan bersama Petugas Media Tabung Haji selepas melakukan lawatan ke bilik operasi media di Makkah, kelmarin.
SYED Salleh (tengah) bergambar kenangan bersama Petugas Media Tabung Haji selepas melakukan lawatan ke bilik operasi media di Makkah, kelmarin.

Informasi ini juga penting kepada bakal-bakal haji untuk memahami proses dan suasana yang akan dilalui nanti.

Katanya, kelainan pada tahun ini juga ialah semua media mempunyai pelbagai medium seperti media sosial, media cetak, televisyen dan juga radio.

"Sila ikut perkembangan operasi haji melalui saluran media yang sahih," katanya.

Mengenai lebih banyak lagi media tempatan yang akan dibawa, beliau berkata, setiap tahun pihaknya kita akan meneliti keberkesanan saluran media dan penerimaan penonton atau pembaca mengenai berita yang disampaikan.

"Kita akan beri peluang kepada syarikat-syarikat media yang lain, insya-Allah," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:21 AM