SEBUAH bot ikan bilis hampir karam selepas terlaggar batu, bagaimanapun 30 nelayan diselamatkan bot berhampiran dalam kejadian di hadapan Resort World Langkawi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
SEBUAH bot ikan bilis hampir karam selepas terlaggar batu, bagaimanapun 30 nelayan diselamatkan bot berhampiran dalam kejadian di hadapan Resort World Langkawi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman

Langkawi: Tiga puluh nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot ikan bilis dinaiki mereka hampir karam selepas terlanggar batu di perairan hadapan Resort World Langkawi di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi itu, lelaki berusia antara 25 hingga 60 tahun itu dilaporkan dalam perjalanan ke laut untuk menangkap ikan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pada kedudukan 0.3 batu nautika di utara Pulau Singa Besar.

"Sejurus menerima maklumat daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC), KM Tenggol digerakkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

"Maklumat kejadian turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Zawawi berkata, sebaik tiba di tempat kejadian didapati kesemua nelayan terbabit yang memakai jaket keselamatan diselamatkan bot nelayan yang berada berdekatan.

"Tekong dan awak-awak bot terbabit serta peralatan menangkap ikan kemudiannya dipindahkan ke KM Tenggol sebelum diserahkan kepada majikan mereka.

"Pemilik bot kayu berukuran 22.79 meter panjang dan lebar 7.11 meter itu kini berusaha mendapatkan bantuan bagi mengapungkan semula bot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:41 PM