EMPAT kru diselamatkan selepas kapal persiaran hampir karam selepas akibat batu di perairan Pulau Lalang, Langkawi, malam tadi. FOTO ihsan APMM
EMPAT kru diselamatkan selepas kapal persiaran hampir karam selepas akibat batu di perairan Pulau Lalang, Langkawi, malam tadi. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Empat kru kapal persiaran Epic Princess berdepan detik cemas apabila kapal dinaiki hampir karam di perairan Pulau Lalang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, kapal itu dilaporkan terkandas selepas terlanggar objek ketika belayar pada kedudukan 0.3 batu nautika di selatan Pulau Lalang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, semua mangsa adalah lelaki berusia di antara 29 dan 54 tahun.

"Mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan dan kapal terbabit ditunda ke Boustead Shipyard di sini untuk tindakan lanjut.

"Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sebaik maklumat diterima daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejurus menerima laporan kecemasan, kapal maritim KM Tenggol milik APMM digerakkan ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, pada masa sama, maklumat kejadian turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 2:10 PM