Keadaan bot gentian kaca yang dinaiki empat nelayan yang terlanggar bongkah kayu dan karam di Pulau Balar, Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Keadaan bot gentian kaca yang dinaiki empat nelayan yang terlanggar bongkah kayu dan karam di Pulau Balar, Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Empat nelayan berdepan detik cemas selepas bot gentian kaca dinaiki terlanggar bongkah kayu hanyut dan karam di perairan Pulau Balar di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, tekong bot, Mohd Yusoff Nawi, 57, berjaya berenang ke daratan berhampiran, manakala tiga rakannya berpaut pada batu berhampiran bot mereka yang karam dalam usaha menyelamatkan diri.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kejadian berlaku pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika, Timur Laut, Pulau Balar.

"Maklumat kejadian itu disalurkan orang awam menerusi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan di lokasi.

"Maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, tekong bersama tiga rakannya dilaporkan keluar ke laut kira-kira sejam sebelum itu bagi mencandat sotong.

"Ketika dalam perjalanan, bot mereka dilaporkan terlanggar satu objek dipercayai bongkah kayu hanyut dan menyebabkan bot bocor dan karam.

"Tekong bertindak berenang ke daratan berhampiran bagi mendapatkan liputan komunikasi untuk mendapatkan bantuan, manakala tiga rakannya berpaut di batu berhampiran bot mereka yang tenggelam," katanya.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, anggota APMM mendapati sebuah bot nelayan lain turut berada di kawasan kejadian untuk memberi bantuan.

"Kesemua nelayan berusia di antara 34 dan 59 tahun itu kemudian dibawa naik ke bot Perkasa 1225 dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut, di sini.

"Susulan itu, operasi SAR kemudian ditamatkan pada 11.00 malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:41 PM