Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu Covid-19, hari ini di Sabah, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster itu adalah Kluster Jalan Tuaran, Kluster Jalan Haruan, Kluster Tapak Bina Puteh Lama, dan Kluster Beringin.

Menurutnya, Kluster Jalan Tuaran membabitkan daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran di negeri Sabah di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19, hari ini hasil saringan di tempat kerja.

"Sehingga hari ini sejumlah 86 individu disaring, di mana 43 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Bagi kluster Jalan Haruan pula membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan di mana kes awal dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 semalam hasil saringan pekerja di sebuah kilang," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

NOOR Hisham ketika sidang media harian Covid-19. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NOOR Hisham ketika sidang media harian Covid-19. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, 300 individu disaring, di mana 118 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini membabitkan 10 kes warganegara dan 108 kes bukan warganegara.

"Kluster Tapan Bina Puteh Lama pula membabitkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 sejak semalam melalui saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan.

"Sehingga hari ini, 820 individu disaring, di mana 139 kesdikesan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Kluster Beringin membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di negeri Pulau Pinang.

"Kes-kes dalam kluster ini adalah pekerja-pekerja di dua buah kilang di Pulau Pinang di mana kes indeks (iaitu kes ke-51,576) dilaporkan positif Covid-19 pada 19 November 2020 melalui saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 3,116 individu telah disaring, di mana 37 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:04 PM