GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim.
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini membabitkan tempat kerja dan komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Teluk Air Tawar membabitkan kluster tempat kerja di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-320,536) dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, kluster ini membabitkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Teluk Air Tawar, Butterworth, Seberang Perai Utara yang mana sehingga kini 33 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster Perindustrian Pekan Nanas juga adalah kluster tempat kerja di daerah Pontian di Johor yang mana kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 hari ini hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Pekan Nanas, Pontian.

"Sehingga hari ini, sejumlah 212 individu disaring, yang mana 39 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tanjung Genting pula membabitkan kluster komuniti di daerah Meradong di Sarawak dengan kes indeks (iaitu kes ke-322,242) dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 66 individu disaring, dengan 22 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Satu lagi kluster komuniti adalah Kluster Pulau Pisang membabitkan daerah Perak Tengah di Perak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-313,168) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Mac lalu hasil saringan individu bergejala," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, seramai 41 individu disaring, yang mana 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Selain itu, beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 1,292 kluster di negara ini yang mana 871 daripadanya sudah tamat, dan masih terdapat 421 kluster aktif ketika ini.

Sepuluh kluster tamat hari ini termasuk Kluster Jalan Pasar; Kluster Jalan Bakawali Ramun; Kluster Kampung Hala; Kluster Jalan Tanjung Enam; Kluster Jalan Wawasan 14; Kluster Jalan Perusahaan Satu; Kluster Jalan Kuchai; Kluster Tapak Bina Seksyen Satu; Kluster Tapak Bina Persiaran Sepang; dan Kluster Jalan Kewajipan).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 6:36 PM