GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Enam kluster baharu dikenal pasti hari ini di Sabah, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bot Biru membabitkan daerah Tawau, Sabah.

Beliau berkata, kes indeks kluster berkenaan iaitu kes ke-46,546 dilaporkan positif Covid-19 pada 15 November lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga 26 November 2020, sejumlah 23 individu disaring, 17 kes dikesan positif Covid -19 dalam kluster ini.

"Kluster Blok 31 turut membabitkan daerah Tawau, Sabah. Kes indeks iaitu kes ke-52,971 dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala, 21 November lalu.

"Sehingga hari ini sejumlah 26 individu disaring, 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Gemilang pula membabitkan satu syarikat logistik dalam daerah Johor Bahru, Johor.

Menurutnya, kes indeks iaitu kes ke-58,837 adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dilaporkan positif Covid-19, 24 November lalu.

"Sehingga hari ini, sejumlah 95 individu disaring, 26 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

"Kluster Tapak Bina Sungai Udang pula membabitkan pekerja tapak pembinaan di Kepong, Kuala Lumpur. Kes indeks iaitu kes ke-54,604 positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 22 November lalu. Setakat ini sejumlah 196 individu disaring, 11 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster Chengal membabitkan daerah Kota Bharu dan Machang, Kelantan. Kes indeks, kes ke-54,773 adalah kes SARI, positif Covid-19 pada 21 November lalu," katanya.

Menurutnya, setakat ini sejumlah 254 individu disaring, 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Menurutnya, Kluster Damar Laut pula membabitkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang serta daerah Padang Terap, Kedah.

"Lima kes pertama bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala di antara 21 November hingga 25 November lalu.

"Setakat ini sejumlah 651 individu disaring, 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam Kluster Damar Laut," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan terdapat 345 dilaporkan sehingga hari ini.

Menurutnya, jumlah kluster yang tamat pula ialah sebanyak 172 kluster dengan dua kluster tamat hari ini iaitu Kluster Tuguson dan Kluster Seri Gaya.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 173 kluster. Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes.

"Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Bakti (95 kes), Kluster Cergas (48 kes) dan Kluster Enggor (43 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:19 PM