Saipul Adli Mohamad dan Mauhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu Covid-19 di Sabah, Sarawak, Lembah Klang dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster terbabit Kluster Seri Gaya, Kluster Greenhill , Kluster Idaman dan Kluster Bayu.

Menurutnya, Kluster Seri Gaya membabitkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,153) dikenal pasti positif

Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan 15 lagi kes positif Covid-19 di mana kesemua kes dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 64 individu disaring di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 (11 kes baharu), 47 individu dikesan negatif dan satu individu masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kluster Grenhill pula dilaporkan di daerah Kuching dan Miri di Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-27,786) dikenal pasti positif Covid-19 selepas hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan 24 lagi kes positif Covid-19 di mana kesemua kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 51 individu disaring di mana 25 kes dikesan positif Covid-19 (21 kes baharu) dan 26 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, bagi Kluster Idaman pula membabitkan daerah Petaling dan Gombak di Selangor dan daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16,044) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober 2020 di mana saringan kontak rapat mengesan 10 lagi kes positif dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 481 individu disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 (dua kes baharu), 300 individu dikesan negatif dan 170 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, bagi Kluster Bayu pula membabitkan daerah Johor Bahru dan Muar, Johor di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25,677) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 23 Oktober lalu.

"Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif Covid-19 di mana kesemua kes dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 104 individu disaring, di mana lapan kes dikesan positif Covid-19 (empat kes baharu), 60 individu negatif dan 36 individu menunggu keputusan," katanya.

PKetua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
PKetua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:01 PM