Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tiga kluster baharu berkaitan Covid-19 dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuala Lumpur, Sabah dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Bukit Gemok iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Tawau.

Menurutnya, kluster berkenaan dikesan menerusi kes indeks iaitu kes ke-70,411 yang dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, seramai 71 individu disaring, di mana 10 kes dikesan positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Cendana iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

Katanya, kes awal yang dilaporkan positif Covid-19 bagi kluster itu adalah pada 10 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan sebuah tapak binaan.

"Sehingga hari ini, seramai 175 individu disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 membabitkan seorang warganegara dan 10 orang bukan warganegara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ketiga dikenali sebagai Kluster Dang Mutiara iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Gombak di Selangor serta daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster iaitu kes ke-75,588 yang dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Disember lalu hasil saringan 'sign on' pelantar minyak dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Sehingga hari ini, seramai 102 individu sudah disaring, hasilnya sebanyak 10 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:49 PM