Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 381 kluster Covid-19 sudah dicatatkan di Malaysia termasuk lapan kluster baharu, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster sudah diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula adalah sebanyak 193 kluster.

Ia katanya, termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bandaran, Kluster Kolong, Kluster Ramai-Ramai dan Kluster Sentral.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 188 kluster. Daripada jumlah itu, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

"Kluster melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Puteh Lama (159 kes), Kluster Teratai (62 kes) dan Kluster Tapak Bina Damanlela (58 kes)," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di KKM Putrajaya, hari ini.

Memperincikan lapan kluster baharu hari ini, katanya, Kluster Tapak Bina Muda membabitkan daerah Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kes awal dalam kluster itu dilaporkan positif Covid-19, hari ini, hasil saringan bersasar di tempat kerja.

"Setakat ini sejumlah 346 individu disaring, 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam Kluster Tapak Bina Muda.

"Kedua ialah Kluster Tapak Bina Galeri. Membabitkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Kuala Lumpur. Kes awal dalam kluster ini yang dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 2 Disember lalu hasil saringan bersasar di satu tapak pembinaan.

"Setakat ini, sejumlah 232 individu disaring, 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Menurutnya, bagi Kluster Bukit Dalam yang membabitkan daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur, mendapati kes indeks iaitu kes ke-65,320 dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, katanya, sejumlah 59 individu disaring, 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

"Kluster Cempaka babitkan daerah Kulai dan Kluang, Johor. Kes indeks iaitu kes ke-68,003 adalah dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dilaporkan positif Covid-19, 2 Disember lalu.

"Setakat ini sejumlah 92 individu disaring, 10 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya.

Kluster Sungai Cincin pula, katanya, melibatkan daerah Batang Padang, Perak, daerah Segamat, Johor dan daerah Klang, Selangor.

Menurutnya, kes indeks iaitu kes ke-67,087 dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Disember lalu hasil saringan individu bergejala dan setakat ini 32 individu disaring, 15 kes dikesan positif dalam kluster itu.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Huma melibatkan daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu di negeri Kelantan.

"Kes indeks iaitu kes ke-68,020 dilaporkan positif 2 Disember lalu hasil saringan kontak rapat. Sehingga ini, 80 individu disaring, 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster Jalan Genting pula membabitkan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dan daerah Bentong, Pahang. Kes indeks iaitu kes ke-66,878 dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Disember hasil saringan tempat kerja.

"Sehingga 3 Disember 2020 (semalam), sejumlah 21 individu sudah disaring, di mana 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya.

Kluster Atabara pula, katanya, membabitkan daerah Kuantan dan Pekan, Pahang dengan kes indeks iaitu kes ke-68,017 dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 53 individu disaring, di mana lima kes sudah dikesan positif Covid-19 dalam Kluster Atabara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 8:31 PM