Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan prosiding kes membabitkan dua lelaki warga Myanmar yang berdepan pertuduhan merogol wanita kurang upaya kategori pekak dan bisu.

Penangguhan itu dibuat susulan dua tertuduh, Akramullah Jamal Hussein, 23, dan Shunamiya Abdul Salam, 36, tidak memahami Bahasa Melayu menyebabkan Hakim Nooriah Osman menetapkan 3 Disember depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kedua-dua tertuduh bakal berdepan pertuduhan Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan kedua-duanya adalah warga asing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

PENANGGUHAN itu dibuat susulan dua tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan menetapkan 3 Disember depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.  FOTO Ghazali Kori
PENANGGUHAN itu dibuat susulan dua tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan menetapkan 3 Disember depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Myanmar. FOTO Ghazali Kori

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki Myanmar bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita kurang upaya pekak dan bisu berusia 23 tahun di Ajil, Hulu Terengganu pada 11 November lalu.

Dua lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh di tapak projek pembinaan di Kampung Merbau Pulas, Ajil, ditahan antara jam 10 hingga 11 malam, hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 2:23 PM