DUA lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merogol wanita OKU. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
DUA lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merogol wanita OKU. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu.

Tertuduh, Akramullah Jamal Hussein, 23, dan Shunamy Abdul Salam, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa Myanmar di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun secara berkumpulan di sebuah rumah kongsi di Ajil, Hulu Terengganu, 7.30 malam pada 11 November lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah mereka direkodkan, mahkamah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mereka adalah warga asing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki Myanmar ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes rogol membabitkan seorang wanita OKU dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:01 PM